mutakhir

Air Sungai Tembeling mulai melimpah

Oleh Roselan Ab Malek

PENDUDUK di Kuala Tahan, Jerantut kini mula resah apabila air sungai dari hulu mulai turun dan mengakibatkan beberapa kampung di hilir sungai Tembeling seperti Kampung Pagi dan KualaTahan mulai dinaiki air, hari ini.

Keadaan itu menyaksikan kawasan letak kenderaan di sekitar restoran rakit Kuala Tahan dipenuhi air hingga memaksa pengusahanya menutup operasi restoran terbabit.

Penduduk, Sabri Abdullah, 50, berkata pengusaha restoran terapung sudah menarik rakit mereka ke tebing dan jauh dari kawasan arus deras selain menambah bilangan ikatan tali supaya ia tidak hanyut.

“Sekiranya hujan lebat berterusan di kawasan hulu Sungai Tembeling, paras air sungai dijangka terus meningkatkan dan mengakibatkan banjir di sepanjang sungai itu,” katanya.

Ketika ini bacaan paras Sungai Tembeling dekat Kuala Tahan mencatat paras 66.71 meter berbanding bacaan normal 60m dan berada pada paras waspada.

Sementara itu, penduduk di Kampung Bantal yang kampung mereka dinaiki air setinggi tiga meter malam tadi, mula menarik nafas lega kerana paras air mulai surut.

Semalam, hujan renyai kadang-kala lebat mengakibatkan air Sungai Tembeling melimpah ke tebing sungai Kampung Bantal hingga melimpahi kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, penduduk kampung di UluTembeling iaitu Kampung Mat Daling, Gusai, Bantal, Kuala Sat, Pagi dan Kuching kini berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk berpindah sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk, lewat malam nanti.

Mereka bimbang air dari hulu Sungai Tembeling yang datang dari Hulu Terengganu akan mengalir ke kawasan terbabit.

Seperti tahun sebelum ini, penduduk di Kuala Tahan dan sepanjang Sungai Tembeling sudah membuat persiapan bagi menghadapi banjir termasuk memindahkan barang ke tempat tinggi.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 7:40pm
d