mutakhir

Banjir surut di Kuala Krai

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SEMUA mangsa banjir di Kuala Krai pulang ke rumah masing-masing manakala 198 orang masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Machang dan Tanah Merah, sehingga 5 petang, hari ini.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di daerah Kuala Krai ditutup sepenuhnya, hari ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di daerah Tanah Merah bertambah kepada 161 orang daripada 42 keluarga berbanding 155 mangsa banjir daripada 40 keluarga, 2 petang tadi.

Mereka ditempatkan di enam PPS iaitu SK Kelewek (39 mangsa), SK Bukit Panau (dua mangsa), SK Alor Pasir (23 mangsa), Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang (33 mangsa), SK Kulim (17 mangsa) dan Masjid Mukim Kuala Kepok (47 mangsa).

Manakalan, mangsa banjir di Machang masih kekal 37 orang daripada 15 keluarga yang ditempatkan di SK Pak Roman.

Sementara itu, berdasarkan web publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan air Sungai Golok di Rantau Panjang

berada pada paras bahaya dengan bacaan 9.04 meter (m) dan Sungai Lebir di Tualang berada di paras amaran iaitu 31.76.

Sementara itu, dua sungai iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial berada di paras berjaga-jaga masing-masing dengan bacaan 21.38 dan 13.48 m m.

Dua jalan ditutup kepada kenderaan ringan di Kuala Krai iaitu Jalan Sungai Durian ke Chenulang, dekat Bukit Arang dan Jalan Nal Station di Batu Jong.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 8:16pm
d