mutakhir

Manfaat 2 dalam 1

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KAD Perak Prihatin yang diperkenalkan kerajaan negeri membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah terutama warga emas dan ibu tunggal.

Pelancaran kad dua dalam satu yang merangkumi kad makanan dan kesihatan bertujuan meringankan kos sara hidup penduduk di negeri ini.

Melalui kad berkenaan, penerima mendapat RM80 sebulan untuk pembelian makanan asas dan RM300 untuk rawatan di klinik panel bagi tempoh setahun.

Kerajaan negeri turut memberi nilai tambah terhadap program ini, yang mana pemegang kad boleh membeli barangan keperluan persekolahan seperti kasut, beg, buku, alat tulis serta pakaian seragam.

Pemegang kad juga boleh membeli pelbagai barangan asas lain seperti lampin pakai buang bayi dan dewasa, sabun, kelengkapan mandian dan bahan pencuci.

Mengakui manfaat itu, ibu tunggal, Azurazaiyani Mohd, 43, berkata, kad berkenaan meringankan bebannya menampung bekalan makanan mereka sekeluarga tahun ini.

Menurutnya, selepas berpisah dengan suami dua tahun lalu kehidupannya bersama enam anak berusia tiga hingga 22 tahun semakin sukar.

“Kesukaran hidup juga memaksa anak sulung yang belajar di sebuah universiti di Melaka bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaannya.

“Kami pernah terputus bekalan makanan enam hari dan hanya menjamah nasi putih yang digaul bersama minyak lebihan goreng ikan dan garam saja,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga bergantung harap kepada anak kedua yang bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan tidak menentu selain bantuan Baitulmal bagi membayar sewa rumah.

“Melalui kad ini kami dapat menambah bekalan makanan dan biasanya saya membeli keperluan asas saja seperti beras, telur, ikan kering, kicap dan minyak masak.

“Untuk kelengkapan persekolahan dua anak tahun depan saya bercadang membeli alat tulis saja kerana peruntukan selebihnya untuk belanja dapur.

“Baju sekolah, beg dan kasut akan dipakai semula jika masih elok walaupun anak sudah dua tahun tak tukar kasut baru. Biarpun nilai RM80 itu kecil tetapi ia besar maknanya kepada kami,” katanya.

Seorang lagi penerima, Ainon Mansor, 70, berkata, dia yang menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis, kolesterol dan darah tinggi kini tidak perlu risau perbelanjaan dapur sejak menerima bantuan Kad Perak Prihatin pada Mei lalu.

“Saya menjalani dialisis sejak dua tahun lalu dan mengambil insulin, saya turut mendapat bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Peruntukan RM80 untuk pembelian makanan asas sangat membantu dan ia mencukupi untuk perbelanjaan dapur saya seorang sebulan,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 6:00am
d