mutakhir

Sungai Lepar lepasi paras berjaga-jaga

Oleh Asrol Awang

HANYA satu sungai utama di Pahang melepasi paras berjaga-jaga pagi hari ini, berbanding empat sungai semalam, berikutan hujan lebat.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga 9 pagi ini, Sungai Lepar dekat Jambatan Gelugor merekodkan bacaan 28.73 meter (m) berbanding paras normal 27 m.

Tiga sungai yang melepasi paras berjaga-jaga semalam, mula menunjukkan sedikit penurunan iaitu Sungai Tembeling, Kuala Tahan di Jerantut iaitu 63.23 m, tetapi masih melepasi bacaan normal 60m.

Begitu juga Sungai Kuantan di Pasir Kemudi mencecah 5.54 m, turun di bawah 4.28 m tetapi paras normal adalah dua meter manakala Sungai Belat dekat Sri Damai pula 2.97 m berbanding normal 1.50m.

Sehubungan itu, penduduk tinggal di kawasan rendah terutama berhampiran sungai masih diingatkan supaya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berpindah jika berlaku banjir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca peringkat waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang, sehingga esok.

MET Malaysia dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan hujan lebat dijangka melanda tiga daerah di negeri ini iaitu Kuantan, Pekan dan Jerantut.

“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang sehingga 6 Disember ini.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil dan aktiviti sukan laut,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 9:40am
d