mutakhir

Mangsa banjir Terengganu menurun

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

SITUASI banjir di Terengganu tidak banyak berubah walaupun ada penduduk yang sudah dibenarkan pulang selepas rumah mereka dinaiki air.

Masih terdapat 1432 mangsa daripada 403 keluarga ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah setakat 9 pagi hari ini.

Bagaimanapun, Besut masih menjadi daerah paling ramai mangsa banjir iaitu 902 orang daripada 229 keluarga berbanding 926 orang daripada 233 keluarga semalam.

Jumlah mangsa banjir di daerah Dungun dan HuluTerengganu kekal sejak semalam namun di Setiu menunjukkan penurunan agak tinggi.

Sejumlah 281 mangsa daripada 78 keluarga masih berada di tiga PPS di Dungun, manakala Hulu Terengganu dengan 187 mangsa daripada 74 keluarga di dua PPS.

Di Setiu jumlah mangsa menurun kepada 63 orang daripada 22 keluarga yang masih berada di tiga PPS.

Sementara itu, paras sungai di Terengganu, tiga stesen mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu iaitu 23.37 meter, Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu (17.61m) dan Sungai Besut di Kampung La, Besut (22.17m).

Tiga stesen turut mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu di Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun dengan 20.64m; Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu (18.95m) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (13.03m).

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 10:19am
d