mutakhir

Sungai surut, kayu pula tersangkut...

Oleh Roselan Ab Malek

PENDUDUK di beberapa perkampungan di Ulu Tembeling, di Jerantut, gempar selepas menemui longgokan batang kayu dan ranting yang terperangkap di kawasan Sungai Tembeling, semalam.

Longgokan batang kayu dan ranting itu dikesan terperangkap di jambatan yang menghubungkan penduduk ke Kampung Gusai, di sini.

Penduduk Kampung Bantal, Japrun Ali, 50, berkata, perkara itu disedari beberapa penduduk petang semalam apabila air sungai Tembeling kembali surut selepas hujan lebat.

“Selepas air sungai Tembeling surut ke paras jambatan itu banyak kayu yang hanyut tersangkut di jambatan itu dan menyekat aliran air.

“Nasib baik tidak ada kayu balak yang hanyut dan tersangkut kerana ia boleh merosakkan atau mungkin merobohkan jambatan itu.

“Lambakan kayu yang tersangkut itu boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk yang melintasi jambatan,” katanya ketika ditemui di Jerantut, hari ini.

Katanya, jambatan simen bertiang besi itu dibina syarikat swasta yang mengusahakan ladang di kampung berkenaan dan turut digunakan secara bersama oleh penduduk dari beberapa kampung di Ulu Tembeling.

Beliau berkata, pemilik syarikat swasta itu sudah mengambil tindakan drastik dengan membersihkan batang kayu yang tersangkut dengan menggunakan jengkaut bagi memastikan aliran air berjalan lancar.

Sementara itu, penduduk Rahmat Hasbullah, 57, berkata, ia kejadian pertama berlaku di kawasan jambatan itu.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib dan ketua kampung bagi membolehkan pemantauan secara menyeluruh dilakukan sekiranya berlaku hujan lebat dan air sungai pasang.

“Saya bimbang jika batang kayu ini terus dihanyutkan menggunakan sungai maka ia boleh mendatangkan bahaya di kawasan jambatan ini selain risiko jambatan runtuh jika berlaku kejadian kepala air yang datang secara serentak,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 11:34am
d