mutakhir

Tak nak bayar denda punya pasal...

Oleh Hadzlihady Hassan

HANYA kerana mahu mengelak membayar denda, lelaki sanggup membuat laporan palsu mendakwa kononnya dia disamun dua lelaki di Jalan Tok Kangar menuju ke Juru, kelmarin.

Dalam laporan polis yang dibuat, pekerja kilang berusia 21 tahun terbabit memberitahu kejadian berlaku 9.30 malam ketika dia sedang menolak motosikal kerana tayar pancit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek mendakwa dia secara tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dan bertanyakan mengenai masalah dihadapinya.

“Bagaimanapun, belum sempat menjawab pertanyaan itu, dia mendakwa pembonceng motosikal terbabit terus merampas beg silang yang diletakkan dalam bakul motosikalnya.

“Pekerja kilang terbabit dalam laporannya memberitahu yang dia cuba menarik beg berkenaan, namun gagal kerana ia terkoyak dan dilarikan dua lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, polis kemudian membuat siasatan lanjut dan memanggil lelaki terbabit untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, 10 malam tadi.

“Selepas disoal siasat, suspek didapati memberi keterangan yang bercanggah dan dia akhirnya mengaku membuat laporan palsu kerana kad pengenalannya hilang.

“Suspek memberitahu yang ini adalah kali kedua dia kehilangan kad pengenalan dan membuat laporan polis palsu kerana mahu mengelak daripada didenda,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan dijangka akan dibebaskan dengan jaminan polis petang, hari ini selepas keterangannya diambil.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 12:36pm
d