mutakhir

Trak tunda, pemilik bengkel mogok [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

LEBIH 30 pengendali trak tunda di Pulau Pinang berkumpul bagi membantah monopoli kerja pembaikan kereta yang kini didakwa dipelopori oleh bengkel kereta syarikat francais.

Mereka menuju ke Juru di Seberang Perai Tengah untuk meletakkan trak tunda masing-masing, sebagai simbolik kepada mogok penutupan semua pengusaha trak tunda di negeri itu bermula esok.

Pengendali trak tunda, Chan Kok Hoe, 40, berkata perniagaannya merundum apabila bengkel kereta syarikat francais mula memonopoli kerja pembaikan kereta, sejak beberapa tahun lalu.

“Syarikat francais memberitahu pemilik kereta bahawa sekiranya pemilik membuat baik pulih atau memasang filem cermin dengan bengkel luar, waranti kereta mereka akan tamat.

“Perkara ini bertentangan dengan Akta Persaingan, yang mana kami seolah-olah dianaktirikan,” katanya ketika ditemui di Jelutong, hari ini.

Katanya, beliau mendesak Kementerian Pengangkutan, Bank Negara, dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) campur tangan bagi menyelesaikan perkara ini.

“Perkara ini sudah berlarutan sangat lama. Sepatutnya pemilik kereta berhak untuk menentukan dengan siapa mereka mahu baik pulih atau membuat penambahbaikan kereta,” katanya.

Sementara itu, wakil Persatuan Tuan Empunya Bengkel Kereta Motor Pulau Pinang berkata, semua bengkel yang berdaftar dengan pihaknya akan ditutup bermula esok, sehingga tarikh yang akan dimaklumkan.

“Pada 12 November lalu, kami mengadakan mesyuarat mengenai cabaran dan kesukaran yang dihadapi dalam industri ini.

“Selepas perbincangan yang mendalam, kami bersetuju menutup semua bengkel kami sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua pemilik bengkel, ‘call man’, dan mekanik dilarang ke lokasi kemalangan atau ke tempat kerosakan kenderaan dalam tempoh itu.

Difahamkan, Persatuan Tuan Empunya Bengkel Kereta Motor Pulau Pinang juga akan mengadakan sidang media esok bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai mogok berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teh Lai Heng mahu persatuan itu menangguhkan sementara mogok mereka sehingga satu penyelesaian bersama dicapai.

“Mogok itu hanya akan menyebabkan kesulitan dan menambah beban kepada pemilik kenderaan di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 6:22pm
d