mutakhir

Pekan Rantau Panjang lumpuh

Oleh Syaherah Mustafa

PEKAN Rantau Panjang lumpuh selepas dinaiki air sehingga satu meter yang menjejaskan aktiviti perniagaan di situ.

Tinjauan mendapati keseluruhan kawasan di pekan itu mula dinaiki air sejak pagi tadi, sekali gus menyebabkan semua premis perniagaan ditutup.

Keadaan itu menyebabkan jalan di pekan berkenaan ditutup kepada kenderaan ringan sejak tengah hari tadi.

Difahamkan, peniaga sudah mula mengangkat dan memindahkan barangan ke tempat yang lebih tinggi lebih awal bagi mengelak kerugian, berikutan pekan terbabit sering dilanda banjir.

Setiausaha Sekretariat Bencana Negeri Kelantan, Zainuddin Hussin, ketika dihubungi berkata, segala aktiviti di pekan itu terhenti dan semua penduduk dinasihatkan berpindah ke tempat selamat.

“Setakat ini, sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan di Pasir Mas dan Rantau Panjang yang menempatkan 1,147 mangsa daripada 376 keluarga.

“Penduduk sudah mula meninggalkan kediaman mereka apabila air mula naik kerana khuatir akan keselamatan terutama kanak-kanak.

“Kita juga menasihatkan penduduk untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti di pekan Rantau Panjang bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 6.10 petang, paras air Sungai Golok sudah melepasi paras bahaya iaitu mencecah 10.40 meter (m).

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 6:42pm
d