mutakhir

Menyantuni gelandangan inisiatif terbaru TNB

Oleh Amir Abd Hamid

LIMA bandar di jelajah Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru-baru ini untuk menyantuni gelandangan sebagai inisiatif terbaru membantu golongan kurang bernasib baik.

Program menyantuni gelandangan itu diadakan TNB di beberapa bandar utama termasuk di ibu negara, Georgetown, Ipoh, Johor Bahru dan Kota Bahru.

TNB sebelum ini sudah melaksanakan pelbagai program untuk golongan kurang bernasib baik termasuk bantuan pendidikan, peralatan persekolahan, pemberian makanan dan menyedia serta membaiki kediaman.

Dalam kenyataan media TNB hari ini, program yang diadakan di ibu kota membabitkan pemberian sumbangan kepada 300 gelandangan pelbagai kaum di Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang pada Jumaat lalu.

“Bantuan diberikan termasuk pek makanan, barangan kelengkapan seperti botol air, bekas makanan, beg galas, wang saku dan perkhidmatan menggunting rambut.

“Program terbabit diatur oleh Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) TNB dan Kelab Jabatan Perkhidmatan Keselamatan TNB dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebagai pentadbir Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur untuk operasi Pusat Transit Gelandangan itu.

“TNB turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada YKN,” kata kenyataan itu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan isteri, Datin Seri Aidah Abu hadir menyempurnakan penyerahan bantuan itu yang ternyata menceriakan golongan kurang bernasib baik itu di Pusat Transit Gelandangan berkenaan.

Hadir sama Ketua Pegawai Usaha Niaga TNB merangkap Presiden PKPI Datuk Nor Azman Mufti, Ketua Jabatan Career Enhancement Management (CEM) yang juga Naib Presiden PKPI TNB Datuk Ir Abdul Aziz Abdul Majid, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 6:52pm
d