mutakhir

9 bulan kajian jambatan ketiga

Oleh Mary Victoria Dass

KEPUTUSAN pembinaan jambatan ketiga bagi menghubungkan Johor dan Singapura hanya akan diputuskan selepas hasil kajian kebolehlaksanaan diperoleh.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian yang akan dimulakan tahun depan itu dijangka mengambil masa sembilan bulan.

Menurutnya, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta dan kerajaan sedang mengenal pasti perunding yang akan dilantik bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan itu dalam masa terdekat.

Katanya, kesesakan Tambak Johor semakin kritikal dengan 70 peratus pelancong serta pelawat menggunakannya bagi memasuki negara ini sehingga ia disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia.

“Oleh itu, kerajaan akan melantik perunding bebas bagi memulakan kajian kebolehlaksanaan perancangan masa depan Tambak Johor bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang termasuk sama ada jambatan ketiga akan dibina.

“Selain itu, kajian berkenaan akan melihat kapasiti di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang bakal mencapai tahap maksimum.

“Kita akan lihat apa cadangan kajian kebolehlaksanaan terhadap kapasiti KIK BSI berikutan ia sudah tidak mempunyai ruang untuk diperbesarkan termasuk langkah penyuraian trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Menangani Kesesakan Tambak Johor di BSI di Johor Bahru hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaafar.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan langkah jangka pendek penyelesaian kesesakan Tambak Johor.

“Ia termasuk peruntukan baru bagi laluan pejalan kaki berbumbung dianggarkan bernilai RM30 juta yang akan dikongsi bersama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad.

“Permohonan pertambahan perjawatan bagi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga turut dibincangkan berikutan ia berada di bawah kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selain membabitkan implikasi kewangan,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 7:11pm
d