mutakhir

Mangsa banjir di Kelantan meningkat

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JUMLAH mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 5,491 orang sehingga jam 12 tengah malam tadi berbanding 4,496 mangsa pada 9 malam.

Ia membabitkan seramai 1,578 keluarga ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh jajahan iaitu Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pasir Mas mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 3,231 mangsa daripada 970 keluarga di 18 PPS.

Kota Bharu pula mencatatkan mangsa banjir seramai 739 mangsa daripada 209 keluarga di tujuh PPS.

Pasir Puteh mencatatkan seramai 611 mangsa daripada 165 keluarga di tujuh PPS dan di Tanah Merah terdapat 284 mangsa daripada 78 keluarga di lapan PPS.

Di kawasan Bachok pula, seramai 235 mangsa daripada 52 keluarga ditempatkan di dua PPS manakala Machang mencatatkan 182 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan ke empat PPS.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 2:19am
d