mutakhir

Bawa pulang RM25,000 pancing keli 4.86kg

Oleh Hassan Omar

SEORANG pemancing membawa pulang RM25,000 selepas menjuarai pertandingan memancing ikan keli di Kolam Tebatan Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Taman Rekreasi Durian Daun, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Pemancing hanya mahu dikenali sebagai Zakaria berusia 40-an itu, menaikkan ikan keli Afrika seberat 4.86 kilogram (kg) pada jam 9.20 pagi.

Zakaria memanfaatkan masa selama dua jam 30 minit dengan sepenuhnya kerana mengikut perancangan dia perlu meninggalkan lokasi pertandingan pada jam 10.30 pagi berikutan mempunyai urusan keluarga.

“Pertandingan bermula jam 8 pagi dan tamat 12.30 tengah hari, tapi atas urusan keluarga saya terpaksa beredar lebih awal.

“Malah saya terpaksa minta rakan Rosman Kudrat, 36, untuk wakilkan saya ketika ambil hadiah kemenangan,” katanya.

Hadiah disampaikan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Masjid Tanah, Nazri Ramli.

Hadir sama, Pengarah Urusan Pancing Bersatu Teguh, Jais Hamidon dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Solok Air Batu, Durian Daun, Mohd Hamidi Ramli.

Rosman berkata, Zakaria hanya menggunakan umpan cacing untuk mencuba nasib pada pertandingan itu yang membabitkan 900 peserta lain.

“Alhamdulillah, memang sudah rezeki kawan saya kerana selepas ikan itu dinaikkan, tiada lagi tangkapan lebih berat didaratkan peserta lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 5:30am
d