mutakhir

Mangsa banjir Kelantan terus meningkat

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JUMLAH mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 5,996 orang sehingga 8 pagi ini berbanding 5,491 orang 12 tengah malam tadi.

Mereka membabitkan 1,578 keluarga yang ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh jajahan iaitu Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pasir Mas mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 3,231 mangsa daripada 970 keluarga di 18 PPS.

Kota Bharu mencatatkan mangsa banjir seramai 739 mangsa daripada 209 keluarga yang berada di tujuh PPS.

Manakala, Pasir Puteh seramai 611 mangsa daripada 165 keluarga di tujuh PPS; Tanah Merah 284 mangsa daripada 78 keluarga di lapan PPS; Bachok seramai 235 mangsa daripada 52 keluarga di dua PPS dan Machang 182 mangsa daripada 54 keluarga di empat PPS.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi laman sosial Facebook TNB Careline memaklumkan kesemua 15 pencawang elektrik yang terbabit akibat banjir yang melanda kawasan Chucuh Puteri, Kuala Krai, petang semalam berjaya diberi bekalan semula awal pagi tadi.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan yang terbabit atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh kerja pemulihan bekalan,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 8:45am
d