mutakhir

Terperangkap selepas salur bantuan banjir

Oleh BERNAMA

SERAMAI 20 orang pasukan penyelamat terperangkap ketika menghantar barangan makanan untuk keperluan penduduk Orang Asli yang terjejas banjir di Kampung Pasir Linggi di Gua Musang, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang Mohd Yusalmi Yusoff berkata, ia berikutan jalan ke kampung itu tiba-tiba tertimbus akibat runtuhan tanah berikutan hujan lebat dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam.

“Kejadian itu berlaku ketika pasukan penyelamat dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir yang terperangkap di kampung terbabit.

“Dalam perjalanan pulang itu, kenderaan yang dinaiki pasukan penyelamat tidak dapat melalui jalan yang digunakan mereka berikutan tanah runtuh di jambatan Sungai Lebir,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi kejadian tanah runtuh itu di Gua Musang, hari ini.

Mohd Yusalmi berkata, pasukan penyelamat yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), APM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menunggu sehingga 8 malam sementara kerja-kerja menyodok tanah runtuh diselesaikan.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau keadaan itu bagi memastikan jalan ke kampung berkenaan selamat dilalui semua penduduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Suprintenden Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan jalan ke Kampung Pasir Linggi masih ditutup kepada semua kenderaan kerana jambatan Sungai Lebir tenggelam sejak empat hari lalu.

Beliau berkata, bagaimanapun paras air sungai itu semakin surut apabila keadaan hujan semakin reda pada hari ini.

“Kami juga mengarahkan semua anggota yang bertugas untuk memantau keadaan banjir di jajahan ini bagi mengurangkan risiko penduduk terperangkap banjir,” katanya.

– BERNAMA

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 1:31pm
d