mutakhir

Keluar dewan kalau sebut 'bodoh'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

MANA-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ dan perkataan lain yang tidak sepatutnya akan diarahkan keluar dari Dewan Rakyat.

Itu amaran dan peringatan dikeluarkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof selepas insiden seorang Ahli Parlimen mengeluarkan perkataan itu pada sesi perbahasan Kertas Putih Pertahanan (KPP), pagi ini.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) mengeluarkan perkataan ‘kerajaan bodoh’ ketika sesi perbahasan KPP oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein (BN-Sembrong).

Difahamkan, Shahidan mengeluarkan perkataan itu selepas Pang Hok Liong (PH-Labis) mencelah dan bertanyakan soalan kepada Hishammuddin mengenai isu skandal pembelian enam helikopter oleh kerajaan terdahulu.

Sejurus selepas itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun dan meminta penjelasan daripada Mohamad Ariff mengenai tindakan Shahidan itu.

“Hari itu, Speaker bagi petua supaya perkataan-perkataan ini tidak dikeluarkan. Kita cuba berbahas secara berhemah.

“YB (Yang Berhormat) Arau mengeluarkan perkataan itu, Labis hanya tanya soalan dan YB Sembrong tengah jawab,” katanya.

Selepas itu, Mohamad Ariff mengingatkan ahli dewan supaya tidak mengeluarkan perkataan itu sekiranya tidak mahu ‘disingkirkan’ dari dewan.

“Hari itu kita bersatu hati iaitu jangan gunakan perkataan-perkataan bodoh dan sebagainya.

“Siapa yang guna perkataan bodoh akan disingkirkan keluar. Saya beri amaran,” katanya.

Minggu lalu, sidang Dewan Rakyat terpaksa dihentikan lebih 15 minit apabila Ahli Parlimen saling mengeluarkan perkataan kesat dan tidak sepatutnya pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 2:04pm
d