mutakhir

'Dalam pasar raya, tak tahu hujan lebat'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“INI memang bencana alam dan tidak dapat dielakkan tetapi sepatutnya pihak tertentu buat pengumuman berlaku banjir kilat.

“Ini tidak, kejadian hanya disedari apabila kereta sudah ditenggelami air,” luah seorang daripada pemilik kereta yang ditenggelami air di Melaka Mall, Ayer Keroh, yang hanya ingin dikenali sebagai Alexia, 35.

Menurutnya yang menetap di Pulau Pinang, dia ke Melaka atas urusan kerja di Melaka Mall dan tidak menyangka sebaliknya yang berlaku.

“Memang terkejut apabila melihat kereta ditenggelami air kerana hari sebelumnya tiada apa yang berlaku.

“Semalam selepas habis kerja, saya turun ke bawah sudah macam pulau dan apa yang menyedihkan komputer riba yang berada di dalam kereta turut rosak dimasuki air,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di bahagian belakang Melaka Mall mendapati kerja-kerja pembersihan longkang dan jalan, giat dijalankan.

Malah kerja-kerja menunda kereta yang ditenggelami air turut dilakukan.

Seorang lagi pemilik kereta yang juga pekerja di pasar raya di bangunan berkenaan, Nur Heleyana Badrul Hisam, 31, berkata, dia hanya mengetahui Perodua Myvi miliknya ditenggelami air pada 6.30 petang.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan pekerja di situ meletakkan kenderaan mereka di bahagian belakang dan banjir kilat semalam adalah kejadian kedua selepas tahun 2018 tetapi tidak teruk.

“Kami duduk di dalam pasar raya, tak sedar cuaca hujan lebat. Kalau diberitahu awal air naik dapatlah saya dan beberapa rakan bergegas keluar alihkan.

“Pada 12.30 tengah malam tadi pun air masih lagi di paras pintu dan terpaksa ditinggalkan di sini sehingga pagi ini,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, hujan lebat lebih dua jam di sekitar Melaka Tengah mengakibatkan lima kampung terjejas serta beberapa laluan utama dilanda banjir kilat, hari ini.

Hujan lebat sejak 5.30 petang itu mengakibatkan Kampung Tun Razak, Taman Seri Jati, Taman Bukit Beruang, Kampung Sikume Batu Berendam dan Kampung Sungai Putat terjejas.

Lebih 20 kenderaan yang diletakkan di bahagian belakang bangunan Melaka Mall terkandas kerana ditenggelami air.

Berita berkaitan

Melaka dilanda banjir kilat [METROTV]

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 2:15pm
d