mutakhir

'Tolong kami, serangan buaya makin menjadi-jadi'

Oleh Poliana Ronnie Sidom

PENDUDUK Kampung Bilit di Kinabatangan, merayu pihak bertanggungjawab agar menangani segera kejadian serangan buaya di Sungai Kinabatangan yang dibimbangi mengancam keselamatan penduduk.

Ia susulan kejadian terbaru serangan buaya terhadap Roslin Kalan, 40-an, yang menyebabkan mangsa meninggal dunia apabila bahagian betis dibaham reptilia itu ketika turun ke tebing sungai untuk memeriksa pukat jam 11 pagi, 27 November lalu.

Menceritakan kejadian itu, penduduk, Juriani Zam Zam, 57, berkata, mangsa dapat menyelamatkan diri dengan berteriak sebaik kakinya dibaham dan meminta bantuan bot pelancong yang kebetulan lalu di kawasan terbabit, sebelum mereka membawanya ke Klinik Kesihatan Sukau.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada 1 November lalu selepas menjalani pembedahan dan menerima rawatan susulan.

“Ini kematian kedua akibat serangan buaya membabitkan penduduk kampung. Sekarang serangan buaya semakin menjadi-jadi tidak kira siang atau malam.

“Justeru, kami berharap pihak berkaitan terutama Jabatan Hidupan Liar (JHL) dapat mengambil tindakan segera termasuk menangkap buaya yang ganas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Asdi Errak berkata, kejadian serangan terbaru itu sudah dilaporkan kepada JHL untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes serangan buaya di kampung berkenaan sangat membimbangkan dengan reptilia berkenaan dikatakan semakin kerap muncul di sungai pada waktu siang.

“Ada beberapa kes berlaku membabitkan serangan buaya. Ada penduduk yang mencuci tangan di sungai hampir-hampir menjadi mangsa buaya.

“Kita harap JHL dapat mengambil tindakan sewajarnya. Majoriti penduduk di kampung ini adalah nelayan dan sudah tentu kehadiran buaya yang banyak akan mengganggu rutin mereka,” katanya.

Berita berkaitan

Mangsa serangan buaya meninggal dunia

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 3:40pm
d