mutakhir

Kes bunuh CEO Cradle Fund: Kesan petrol pada sampel [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

SEORANG saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, bahawa hasil analisa dijalankan menunjukkan terdapat kesan petrol pada sampel sisa kebakaran yang diambil dari rumah mangsa.

Saksi pendakwaan ke-14, Pegawai Sains di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Aznor Sheda Samsudin, 38, berkata, sisa cecair mudah menyala jenis petrol itu ditemui pada tiga daripada empat sampel yang dikemukakan kepada Makmal Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor.

Beliau yang berpengalaman dalam analisis sisa kebakaran dalam menentukan cecair mudah menyala termasuk petrol, kerosin dan diesel itu berkata, bagaimanapun, satu lagi sampel yang dihantar kepadanya tidak mempunyai sisa cecair mudah menyala.

“Terdahulu, pada jam 12.15 tengah hari pada 17 Jun 2018 di Makmal Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor, saya menerima empat kotak masing-masing bertanda A, C, D dan E daripada Pegawai Bomba Abdul Halim Zulkefeli untuk dianalisa.

“Saya kemudian memeriksa keempat-empat kotak itu dan di dalamnya masing-masing mempunyai beg nilon yang diikat dengan ‘cable tie’,” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Menceritakan bagaimana analisa itu dilakukan, Aznor berkata, beliau memanaskan beg nilon berisi sisa kebakaran satu persatu di dalam ketuhar selama 15 minit pada suhu 90 darjah celsius supaya proses pengewapan berlaku sekiranya terdapat sisa cecair mudah menyala pada sisa kebakaran.

“Wap yang terhasil kemudian dijerap menggunakan alat Solid Phase Micro Extraction (SPME) dan kemudian diuji menggunakan peralatan Gas Chromatography-Mass Spectrometer.

“Hasil analisa mendapati ada sisa cecair mudah menyala jenis petrol pada sisa kebakaran pada kotak bertanda C,D dan E, manakala tiada sebarang kesan sisa cecair mudah menyala dikesan pada kotak A,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Saksi sama itu turut memberitahu mahkamah bahawa tiada bau petrol ketika beliau menerima barang kes itu.

MOHD ASNAWI : Boleh jelaskan kenapa petrol tak boleh dibau tetapi kamu boleh kesan kehadiran?

AZNOR: Melalui pengalaman saya, analisis sisa kebakaran tidak semestinya semua bahan bukti positif petrol ada bau kerana kami terima sampel dalam bentuk kebakaran. Selalunya bahan bukti ini ada bau jika sampel diterima dalam bukti cecair.

MOHD ASNAWI : Bagaimana petrol dapat dikesan dalam sisa kebakaran?

AZNOR: Petrol adalah dalam bentuk cecair dan ia mempunyai sifat memenuhi ruang apabila ia dicurah pada mana-mana bahan dan akan memenuhi setiap ruang. Ini disebabkan petrol adalah cecair dan bila terbakar, sisa petrol masih ada walaupun kebakaran sudah tamat.. ia kerana komposisi petrol masih ada lagi.

MOHD ASNAWI : Petrol masih ada lagi?

AZNOR : Ya, jika ada wap yang terperangkap.

Samirah Muzaffar , 44, iaitu bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung 29 November ini.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 5:21pm
d