mutakhir

Bukan Empangan Kenyir lepas air

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi atau menyebarkan rakaman video limpahan air empangan yang dimuat naik pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

TNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, video itu ditularkan dengan hantaran pelepasan air dari Empangan Kenyir di Kuala Berang.

“Sebenarnya rakaman limpahan air yang ditularkan itu dari Empangan Tembat terletak berhampiran yang memiliki kawasan tadahan berkeluasan 0.05 peratus dari Empangan Kenyir.

“Air yang dilepaskan itu juga adalah pelepasan semula jadi (natural spillage) yang disalurkan ke Tasik Kenyir dan tidak perlu dibimbangi,” katanya.

Menurutnya, TNB sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi musim tengkujuh seperti dengan menurunkan paras air empangan serta melaksanakan kerja penyelenggaraan.

Terdahulu, tular video berdurasi 12 saat di media sosial dengan menyatakan pintu pelepasan air di Empangan Kenyir terpaksa dibuka secara langsung hingga menyebabkan berlakunya banjir besar.

Sebelum ini dilaporkan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud turut meminta orang ramai tidak menular berita palsu mengenai pelepasan air Empangan Kenyir bagi menurunkan paras takungan hingga menyebabkan banjir besar di Terengganu dan Kelantan.

Berita berkaitan

Mana ada lepaskan air Empangan Kenyir

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 7:25pm
d