mutakhir

Kertas Putih Pertahanan bukan untuk dihina

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Pertahanan terbuka menerima teguran, namun bukan hinaan terhadap Kertas Putih Pertahanan (KPP), Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, ini kerana kertas putih itu dirangka oleh bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang arif soal pertahanan selain pakar.

“Saya senang hati dengan ucapan menegur (sesi perbahasan KPP) tadi... tegurlah kementerian (Pertahanan), tapi jangan menghina kertas putih ini kerana ia dibuat (rangka) oleh pasukan sebegitu rupa,” katanya.

Menurutnya, antara mereka yang terbabit dalam proses itu adalah bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth selain bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti Tan Sri Sulaiman Sujak, Tan Sri Mohd Yunus Tasi dan Tan Sri Abdullah Ahmad.

Turut sama, Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Wahab Nawi dan Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Mohd Hashim Mohd Ali.

Mohamad berkata, pihak lain antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Mereka ini bertungkus lumus selama satu tahun untuk menyediakan KPP ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, KPP tidak akan mendedahkan penyelewengan ketika pentadbiran terdahulu, sebaliknya membincangkan apa yang perlu dihadapi Kementerian Pertahanan bagi 10 tahun akan datang.

“Saya ada terima WhatsApp ketika sesi perbahasan KPP tadi (hari ini) dan tanya kenapa saya tidak mendedahkan penyelewengan terdahulu?

“Kertas putih (dibuat) bukan untuk tujuan itu,” katanya.

Mengenai kritikan supaya kementerian memperlengkapkan lagi rancangan dalam KPP, Mohamad berkata, ia satu pandangan yang baik kerana KPP akan diterima pakai pihak pemerintah yang mentadbir negara selepas ini.

“Sesiapa sahaja (yang memerintah) akan terus pakai KPP ini kerana ia dasar pertahanan negara,” katanya.

Usul KPP diluluskan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen, hari ini.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 7:54pm
d