mutakhir

Lelaki maut ditimbus tanah

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEKERJA pembaikan kabel elektrik maut, manakala rakannya terselamat selepas mereka ditimbus tanah ketika melakukan kerja berkaitan di hadapan Dewan Mat Kilau, Batu 5 Jalan Gambang, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang juga lelaki Thailand disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa dikenali Master Muhammad Riduwan, 18, dikatakan sedang membaiki kabel elektrik bersama seorang lagi rakannya, sebelum berlaku runtuhan dan mangsa ditimbus tanah.

“Kita terima panggilan kecemasan pada 12.28 tengah hari memaklumkan mengenai kejadian itu. Ketika anggota kita tiba di lokasi bersama jentera bomba, mangsa bersama seorang lagi rakannya yang tertimbus sudah dikeluarkan.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HTAA.

“Rakan mangsa yang terselamat dikenali sebagai Muhammad Naqiuddin Che Azhar berusia 18 tahun dan dirawat di zon kuning hospital kerana mengalami kecederaan di bahagian bahu dan mengadu sakit di dada,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengetahui punca sebenar tanah itu menimbus kedua-dua mangsa.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 9:22pm
d