mutakhir

Stok barang keperluan mangsa banjir cukup

Oleh BERNAMA

STOK barangan keperluan termasuk khemah adalah mencukupi untuk mangsa banjir di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi ketika ini.

Pengarah Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun, di sesetengah PPS, pemasangan khemah tidak begitu praktikal kerana keluasan yang agak terhad dan pemasangannya akan menyebabkan dewan itu tidak dapat menampung jumlah mangsa banjir yang ada.

“Oleh sebab itu, khemah-khemah tidak dibuka supaya lebih ramai dapat ditempatkan di PPS itu. Sebenarnya, bekalan khemah untuk keperluan di Pantai Timur ini adalah mencukupi namun pengedarannya mengambil masa sedikit.

“Di sesetengah PPS, memang sengaja tak dibuka supaya lebih ramai boleh ditempatkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya ada PPS yang tidak menerima khemah berkenaan.

Setakat ini, 10,000 unit khemah telah selesai dihantar ke tiga negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu serta pihaknya akan menambah sebanyak 2,000 unit berdasarkan keperluan semasa mangsa banjir di tiga negeri berkenaan.

Ditanya mengenai kelancaran penghantaran bantuan barangan dan makanan ke PPS, beliau berkata, ada berlaku kes terpencil kelewatan, namun ia bukanlah disengajakan kerana berpunca daripada faktor luar jangka seperti terputus hubungan dan cuaca terlalu buruk.

“Kita telah ambil inisiatif contohnya tambahan anggota dan tambahan dari segi logistik untuk mempercepatkan bantuan ini. Begitu juga bantuan tambahan kerajaan pusat, memang telah tersedia, hanya menunggu waktu sesuai untuk penghantarannya,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemantauannya turun padang meninjau beberapa PPS, mendapati semua proses pendaftaran mangsa dan pengagihan sumbangan berjalan dengan baik mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat perkembangan banjir di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Jerteh bersama beberapa agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 9:59pm
d