mutakhir

'Dia jerit rompak...rompak' [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“SAYA hanya mampu berdiri ketakutan dan terdengar dia menjerit rompak..rompak...sebelum memecahkan cermin pameran menggunakan kapak berulang kali,” kata Norlizda Fazli, 26.

Wanita itu adalah kakitangan kedai emas yang dirompak dalam kejadian di sebuah pasar raya di Alor Mengkudu di Alor Setar hari ini.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, lelaki yang memakai topi keledar dengan penutup muka itu dilaporkan melarikan lima dulang barang kemas.

Menurutnya, dia dan pemilik kedai emas itu baru selesai melayan pelanggan yang datang.

Katanya, seorang lelaki yang berbadan agak besar dan berbaju putih kemudiannya masuk ke kedai sambil membawa beg raket badminton.

“Saya sangkakan dia membawa barang jualan seperti kerepek untuk dijual tetapi secara tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan senapang dan sebilah kapak sebelum memukul cermin pameran berulang kali.

“Kami tidak berani berbuat apa-apa dan hanya mampu melihatnya melarikan dulang mengandungi barang kemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Norlizda berkata, ia adalah kejadian pertama dialaminya sejak bekerja di kedai emas itu kira-kira setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah juga dilihat berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 10:40pm
d