mutakhir

Bukan tulisan tangan Zahid

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi di sini, semalam diberitahu bahawa tandatangan pada enam cek untuk membayar kad kredit dan kad caj Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicap dan bukan dengan tulisan tangan.

Perkara itu dibangkitkan peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik ketika pemeriksaan balas terhadap Naib Presiden yang bertanggungjawab dalam pengurusan penipuan dan pertikaian kad kredit Malayan Banking Berhad (Maybank), Anoop Singh Gulzara Singh, 46.

Merujuk kepada laporan yang ditandatangani oleh ahli kimia, Siti Nur Musliha Mohamad Noor dari Jabatan Kimia, Anoop Singh berkata, laporan itu menyatakan bahawa tandatangan pada enam cek berkenaan adalah dicap.

Menurut laporan itu, disebabkan oleh tandatangan yang dipersoalkan menggunakan cap dan bukan tandatangan tulisan tangan, Siti Nur Musliha tidak dapat memberi pendapat mengenai penandatangan cek itu.

Anoop Singh, saksi pendakwaan kesembilan memberi keterangan berkenaan pada hari kesembilan perbicaraan Ahmad Zahid, 66, yang berdepan 47 tuduhan membabitkan jutaan ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ketika dicadangkan Hisyam bahawa Ahmad Zahid tidak mengecap keenam-enam cek itu sebagai pemegang kad, saksi itu berkata, beliau tidak tahu.

HISYAM: Saya cadangkan kepada kamu bahawa semasa enam cek itu dicap, Ahmad Zahid tidak mengetahui ia dicap oleh pembantu peribadinya, Mejar Mazlina (Mazlan).

ANOOP: Saya tidak tahu.

Ahmad Zahid, bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) menghadapi 47 tuduhan dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), rasuah (lapan) dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. - Bernama

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 10:09am
d