mutakhir

Najib bela diri kes SRC

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mula memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes membabitkan skandal SRC International Sdn Bhd.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula 9.30 pagi tadi.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memulakan prosiding dengan membacakan pernyataan pembukaan pembelaan.

Beliau menyatakan pihak pembelaan akan mengemukakan bukti secara keseluruhan bagi membuktikan bahawa tiada salah guna kuasa dilakukan Najib dan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai kepentingan di dalam SRC International.

Antara lain Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan juga akan mengemukakan bukti bahawa pembabitan Najib di dalam perkara membabitkan SRC tidak didorong oleh motif jahat dan rasuah.

“Najib tidak pernah menjadi ejen atau pengarah dalam SRC seperti didakwa dalam Seksyen 402 yang dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Beliau juga tidak menerima RM42 juta yang didakwa seperti dalam pertuduhan.

“Najib tidak mengawal SRC dan pastinya tidak diamanahkan dengan kuasa dana syarikat itu secara langsung atau tidak langsung.

“Malah beliau juga tidak menyalahgunakan dana itu sama ada secara langsung atau tidak,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kesalahan predikat yang membentuk aktiviti haram yang didakwa berhubung dana RM42 juta itu.

“Terdapat keadaan yang menyebabkan ada alasan munasabah untuk Najib mempercayai bahawa dana di dalam akaunnya bukanlah hasil aktiviti haram.

“Bukti secara keseluruhan membawa kesimpulan bahawa yang memihak kepada Najib.

“Terdapat keraguan munasabah berhubung bahan kesalahan yang membentuk tujuh pertuduhan terhadap tertuduh. Oleh itu kami memohon supaya Najib dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan itu,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan akan menyentuh beberapa bukti berhubung Najib antaranya ialah anak guamnya bertindak atas kapasiti jawatan awam dan bagi kepentingan Kerajaan Malaysia dan bukan kepentingan peribadi.

“Hal ehwal dan operasi berhubung SRC, Najib tidak mengawal atau mengarahkan Lembaga Pengarah mengenai sebarang perkara yang berada dalam lingkungan itu.

“Ia diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah yang kompeten dan berpengalaman.

“Najib tidak pernah mengarahkan Lembaga Pengarah melalui Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamal dan taklimat terhad yang diterimanya hanya dengan garis panduan umum,” katanya.

Menurutnya, koresponden dari SRC yang diterima oleh Najib memberikan gambaran bahawa kandungannya sudah disahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah sebelum dihantar kepadanya untuk sebarang pandangan dan komen.

“Terdapat Minit atau Resolusi Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC adalah dipersoalkan kerana dokumen ini bukan jenis Najib akan tanda tangan bagi pihak MKD melainkan ia disyorkan Bahagian Menteri Kewangan Diperbadankan (BMKD).

“Pinjaman dan kredit siap sedia dari kerajaan kepada SRC pada 2015, 2016 dan 2017 sudah diluluskan oleh Kabinet, Perbendaharaan atau Menteri Kewangan disebabkan keadaan pada masa itu. Ia juga berdasarkan jaminan SRC akan membayar balik,” katanya.

Beliau berkata, Najib tidak mempunyai pengetahuan atau pembabitan berhubung beberapa transaksi antaranya ialah dana berjumlah RM40 juta yang dikeluarkan daripada akaun SRC kepada Gandingan Menteri Sdn Bhd (GMSB) dan akhirnya kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).

“Najib tidak mengetahui pemindahan dana RM27 juta dan RM5 juta dari IPSB kepada 880 dan 906 (kedua-dua akaun peribadi milik Najib) dan pemindahan dana RM27 juta dan RM5 juta dari kedua akaun itu ke dalam akaun Permai Binaraya Sdn Bhd (PBSB) dan Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPC),” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 11:29am
d