mutakhir

Kadar tarif elektrik kekal

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KADAR tarif elektrik bagi pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia dikekalkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Kabinet pada Jumaat lalu bersetuju supaya

tiada surcaj dikenakan kepada pengguna domestik manakala kadar surcaj bagi pengguna komersial dan industri pula diturunkan kepada 0.55 sen/kilowatt-jam (kWj).

“Bagi kategori pengguna domestik, RM62.95 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan digunakan untuk menampung surcaj Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) supaya tiada surcaj dikenakan.

“Oleh itu, kadar efektif tarif elektrik akan dikekalkan pada kadar efektif asas pada kadar 39.45 sen/kWj.

“Ini adalah 18 bulan berturut-turut tiada peningkatan melalui surcaj dikenakan kepada pengguna elektrik domestik.

“Bagi kategori pengguna komersial dan industri pula, surcaj 2.55 sen/kWj dikenakan bagi tempoh Julai hingga Disember 2019. “Bagaimanapun, sukacita saya ingin maklumkan bahawa kadar surcaj ini diturunkan 0.55 sen/kWj kepada 2 sen/kWj susulan penurunan kos bahan api bagi tempoh enam bulan ini,” katanya.

Katanya, menerusi keputusan kerajaan itu, 7.4 juta pengguna domestik akan diberi pengecualian surcaj tarif elektrik manakala pengguna bukan domestik akan menikmati pengurangan surcaj iaitu pengurangan kadar elektrik tarif elektrik dalam bil elektrik mereka.

Bee Yin berkata, pihaknya berharap pengguna elektrik sentiasa mengambil langkah kecekapan tenaga supaya tidak terjejas pada masa akan datang jika harga bahan api meningkat.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 12:09pm
d