mutakhir

Berkas 10 individu curi mesin Bitcoin [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

MENGARAHKAN sepasang kekasih untuk mencuri mesin penjana mata wang digital Bitcoin, sebelum semua hasil curi itu dibelinya pada harga murah.

Itu taktik lelaki berusia 37 tahun yang nekad kaut untung mudah kerana menyedari kelebihan Bitcoin dan mesin memprosesnya yang boleh menggandakan pelaburan.

Dia berpakat dengan lelaki berusia 29 tahun serta teman wanita lelaki itu yang juga warga Indonesia berumur 24 tahun, supaya mencuri semua mesin di premis tertentu sebelum dia membelinya pada harga antara RM200 ke RM300 seunit.

Bagaimanapun, kegiatan berkenaan terbongkar selepas polis melakukan operasi dan menyerbu beberapa lokasi di Kulim dan Sungai Petani, Kedah bermula September hingga 27 November lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam Op Cantas dan Op Pintu itu, tiga individu berkenaan ditahan bersama tujuh lagi berusia 21 hingga 24 tahun.

“Operasi bermula selepas kita terima laporan pemilik premis di Pusat Bandar Bertam, Kepala Batas pada 5.10 pagi, 27 Ogos lalu, memaklumkan bahawa sejumlah mesin penjana kuasa Bitcoin miliknya dilarikan individu tidak dikenali.

“Pemilik menyedari hal itu selepas penggera kamera litar tertutup (CCTV) pada telefon bimbitnya berbunyi dan pemeriksaan di kedai mendapati ada tiga lelaki cuba melarikan diri dengan kereta.

“Mangsa cuba memberhentikan kereta lelaki itu tetapi sebuah lagi kenderaan datang dan mengetuk cermin kereta mangsa dengan besi hingga retak, menyebabkan mangsa berundur kerana bimbang keselamatannya.

“Dia membuat laporan polis dan susulan itu kita laksana gerakan memburu suspek kegiatan ini selama tiga bulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, hari ini.

Noorzainy berkata, soal siasat ke atas pembeli mesin itu (lelaki 37 tahun) mendapati dia membeli semua mesin yang dicuri kekasih terbabit pada harga murah, sedangkan harga pasaran cecah RM3,000 seunit.

Katanya, suspek yang menjadi dalang mencuri mesin itu mempunyai 17 rekod jenayah lampau, manakala suspek yang membeli ada empat rekod lampau termasuk jadi individu dikehendaki polis.

“Keseluruhan serbuan membolehkan 42 mesin termasuk mesin penjana kuasa Bitcoin dan pelbagai peralatan mencuri dirampas membabitkan nilai RM84,000.

“Semua suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan mereka disiasat mengikut Seksyen 457 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 3:46pm
d