mutakhir

Dua kebakaran dalam bilik Nazrin [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

PEGAWAI penyiasat kebakaran memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, bahawa terdapat dua kebakaran berasingan yang berlaku di bilik tidur utama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Mutiara Homes, Mutiara Damansara.

Saksi pendakwaan ke-15, Abdul Halim Zulkefeli, 33, berkata, siasatan dilakukannya mendapati dua kebakaran itu masing-masing berlaku pada bahagian dekat kepala Nazrin dan pada tilam.

Beliau yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, di kawasan lain yang berlaku kebakaran di tempat kejadian hanya mengalami kesan jelaga dan pencairan disebabkan suhu panas, seperti penghawa dingin.

“Terdapat barang, iaitu sisa kebakaran pada dada serta kepala mangsa (Nazrin) namun saya tidak dapat pastikan apakah barang itu,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib@Hamid pada hari perbicaraan kes bunuh berprofil tinggi di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Saksi itu berkata, hasil siasatannya juga mendapati, pada hari kejadian, Nazrin telah terbaring di kawasan mayatnya ditemukan sebelum kebakaran berkenaan berlaku.

Beliau turut mengakui ada menterbalikkan badan mangsa untuk melihat bahagian belakang Nazrin.

SALIM: Kenapa perlu lihat belakang badan mangsa?

ABDUL HALIM: Dalam satu penyiasatan kebakaran, jika ada mangsa, maka dia dianggap sebagai objek yang terbakar. Justeru saya perlu lihat keseluruhan keadaan kebakaran yang terdapat pada objek (Nazrin).

SALIM: Apa hasilnya?

ABDUL HALIM: Ketika saya menterbalikkan badan mangsa, saya dapati di belakang badannya tiada jelaga. Ini bermaksud semasa kebakaran berlaku mangsa telah terbaring di tempat itu. Saya dapati tiada kesan kecederaan di belakang badan mangsa melainkan hanya pada bahagian kepala. Saya juga nampak banyak kesan darah di belakang kepala mangsa.

SALIM: Adakah tahu punca darah di kepala mangsa?

ABDUL HALIM: Terdapat kesan darah dan saya percaya ia mengalir dari arah kepala mangsa.

Saksi sama berkata, berdasarkan pengalamannya, kebiasaannya mangsa kebakaran akan melarikan diri ke almari, bilik air atau kawasan lain untuk menyelamatkan diri mereka.

“Namun dalam kes ini, saya dapati tiada sebarang kesan menunjukkan mangsa cuba melarikan diri di mana-mana kawasan sekitar bilik itu.

“Mangsa juga boleh mendapatkan bantuan sekiranya berada dalam keadaan sedar ketika kebakaran berlaku,” katanya.

Menurutnya lagi, tiada kesan pada pada tombol pintu dipecahkan dari dalam dan jika mangsa cuba berbuat demikian, dia akan berada di kawasan itu.

“Jika melihat pada jenis dan kesan kebakaran serta keluasan bilik dan tempat bermula kebakaran, jika mangsa ketika itu masih hidup, dia memang boleh keluar selamatkan diri.

“Dalam siasatan ini, saya juga memeriksa pintu grill dan siling namun tiada kesan ia dipecahkan,” katanya.

Samirah Muzaffar , 44, iaitu bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Prosiding perbicaraan bersambung esok.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 4:18pm
d