mutakhir

Rezeki banjir

Oleh Syaherah Mustafa

PEKAN Rantau Panjang bertukar menjadi taman tema air apabila dipenuhi pengunjung yang bermain air malah terdapat deretan gerai mengambil peluang untuk berniaga.

Tinjauan mendapati suasana meriah itu disertai bukan saja penduduk tempatan malah ada yang datang dari Kota Bharu dan Tanah Merah.

Pengunjung, Akmal Rizal Salleh, 37, berkata, dia bersama isteri dan dua anak berusia lapan dan 12 tahun datang ke pekan itu semata-mata untuk bermain air banjir selepas mendengar kemeriahannya.

“Saya memandu Toyota Hilux, jadi tidak menjadi masalah untuk meredah beberapa jalan yang dilimpahi air sebelum sampai ke sini.

“Memang saya sendiri teruja melihat kemeriahan di sini seperti taman tema air dengan orang ramai malah gerai makanan juga dibuka memudahkan kami untuk minum dan makan.

“Lagipun air yang melimpahi jalan ini tidak membahayakan kerana hanya paras lutut sesuai untuk kanak-kanak bermain air. “Bagaimanapun, saya sentiasa memerhatikan anak-anak kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di Banggol Kulim di Rantau Panjang semalam.

Sementara itu, peniaga, Laila Abd Majid, 34, teruja kerana dapat mencari rezeki dengan menjual air serta makanan seperti keropok dan sosej kepada pengunjung yang datang bermain air.

Katanya, itu tahun keempat dia berniaga memandangkan setiap tahun pekan terbabit dilanda banjir.

“Alhamdulillah saya memperoleh RM1,000 sehari hasil berniaga di sini dan membuka gerai 12 tengah hari kerana ketika itu sudah ramai berkunjung ke sini.

“Boleh dikatakan menjadi rutin tahunan penduduk merasai taman tema air percuma. Kita dapat lihat pelbagai peringkat usia bermain air malah ada yang memakai set pakaian mandi dan pelampung.

“Setakat ini masih belum ada kejadian lemas atau meragut nyawa berlaku kerana keadaan di sini selamat selain turut dikawal agensi keselamatan,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 4:23pm
d