mutakhir

Mangsa banjir Kelantan bertambah lagi

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MANGSA banjir di Kelantan terus meningkat kepada 13,351 mangsa daripada 4,802 keluarga sehingga 6 petang, hari ini berbanding 13,002 mangsa, 3 petang tadi.

Mereka ditempatkan di 61 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas meningkat kepada 9,240 orang daripada

3,581 keluarga di 28 PPS.

Manakala, jumlah mangsa banjir di Tumpat seramai 1,938 orang daripada 649 keluarga di enam PPS.

Mangsa banjir di Kuala Krai seramai 626 orang membabitkan 140 keluarga di tujuh PPS manakala Kota Bharu seramai 253 orang daripada 76 keluarga di tiga PPS.

Di Pasir Puteh 826 mangsa daripada 219 keluarga terjejas dan ditempatkan di lapan PPS dan di Tanah Merah, 365 mangsa daripada 110 keluarga di tujuh PPS.

Jumlah mangsa di Machang seramai 140 mangsa daripada 38 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Sementara itu, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras bahaya dengan bacaan 10.40 meter.

Sebanyak 18 jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan dan semua jenis kenderaan iaitu dua di Kuala Krai, 11 di Pasir Mas, tiga di Tanah Merah dan dua di Tumpat.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 6:15pm
d