mutakhir

Raba jururawat sambil ke tandas

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

LELAKI dipercayai mencabul seorang jururawat di wad di hospital di Kuala Terengganu, ditahan polis hari ini, selepas dua minggu menghilangkan diri.

Sumber berkata, suspek berusia 46 tahun ditahan polis di bandar Kuala Terengganu pada 3 petang selepas usaha mengesan suspek sejak 20 November lalu tidak berhasil.

Terdahulu, dalam kejadian 7.20 pagi pada 20 November lalu, tugasan seorang jururawat memeriksa pesakitnya di wad hospital itu terganggu apabila dia dicabul seorang pesakit lain.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa sedang melakukan pemeriksaan terhadap seorang pesakit di wad berkenaan, sebelum didatangi suspek yang dalam perjalanan ke tandas.

Kata sumber, kejadian menimpa mangsa berusia 33 tahun turut disaksikan beberapa rakannya yang berada di kawasan berhampiran.

“Suspek yang juga pesakit di wad berkenaan sedang berjalan menuju ke tandas sebelum dia menghampiri jururawat berkenaan lalu bertindak meraba mangsa.

“Mangsa yang terkejut diperlakukan sedemikian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada 20 November lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berada di wad hospital itu kerana mendapatkan rawatan berikutan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Menurutnya, suspek dipercayai mengalami masalah mental dan mempunyai rekod rawatan psikiatri di hospital berkenaan.

Katanya, susulan laporan dibuat mangsa, polis menggerakkan usaha untuk menahan suspek, namun dia sudah dibenarkan keluar wad pada hari sama dan gagal ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan penahanan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 7:44pm
d