mutakhir

Kapcai redah air bantu mangsa banjir

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

HASIL inovasi sekumpulan anak muda dari Kampung Matang, Kuala Berang mengubahsuai motosikal kapcai banyak berjasa apabila digunakan untuk mengangkut penduduk kampung ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali banjir.

Terdapat 10 motosikal diubah suai enjinnya dengan kuasa lebih tinggi dan ekzosnya diubah suai ke arah atas bagi mengelak air memasuki ekzos.

Pemiliknya, Shahrin Abdul Gani, 25, berkata, motosikal ataupun dikenali 'Cub-Cross' diubahsuai bermodalkan RM1,000 hingga RM2,000 itu berupaya meredah air sedalam satu meter.

"Ia adalah motosikal kapcai biasa yang diubah suai menjadi motosikal lasak yang boleh digunakan untuk aksi lasak yang sesuai dengan semua jenis permukaan jalan.

"Malah motosikal ini mampu meredah banjir dan banyak berjasa membantu mangsa banjir yang terkandas apabila jalan dinaiki air," katanya.

Shahrin berkata, asalnya belia kampung Matang itu menubuhkan Kelab Motor Cub-Cross sejak empat tahun lalu untuk tujuan rekreasi.

Malah, setahun sekali Shahrin berkata, mereka akan masuk ke hutan dengan meredah hutan di Tasik Kenyir.

"Motosikal ini digunakan untuk pemiliknya meredah belantara untuk mencari hasil hutan. Kemampuan cub-cross ini boleh disifatkan setanding dengan motosikal 'scrambler' yang mempunyai kapasiti enjin tinggi," katanya.

Shahrin berkata, apabila berlakunya banjir, motosikal ini akan menjadi nadi utama pengangkutan penduduk kampung.

"Motosikal ini memang banyak membantu penduduk kampung. Sekiranya jalan raya terputus hubungan akibat dinaiki air, kami akan tolong untuk memindahkan penduduk, malah ada yang bersedia untuk berkhidmat sekiranya menerima panggilan daripada penduduk.

"Malah, kami pernah meredah banjir membantu membawa warga emas yang sakit untuk ke klinik dan wanita hamil yang sarat untuk dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 9:47pm
d