mutakhir

Hibah lebih baik tahun ini

Oleh BERNAMA

LEMBAGA Tabung Haji (TH) yang mencatatkan prestasi kewangan positif pada suku ketiga kali ini, akan dapat mengumumkan hibah yang lebih baik (dividen) bagi 2019, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, selain itu, ia juga mendapat pengukuhan daripada sokongan penyimpan dengan lebih 87,000 akaun simpanan baharu.

“Daripada beberapa sudut, ini mencerminkan peningkatan keyakinan di kalangan umat Islam Malaysia.

“Walaupun hibah boleh menjadi lebih baik tahun ini, pendeposit perlu menyedari prospek bagi pasaran kewangan adalah tidak menentu berikutan perang perdagangan yang berterusan.

“Oleh itu, mereka seharusnya menjangkakan kadar hibah yang bersesuaian memandangkan keadaan pasaran kewangan masih tidak stabil,” katanya.

Mohd Afzanizam menyifatkan prestasi suku ketiga TH adalah baik dengan jumlah aset terus mengatasi tanggungan RM2.3 bilion, lebih tinggi berbanding RM1 bilion pada 2018.

TH mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM500 juta pada suku ketiga 2019, meningkatkan keuntungan untuk tempoh sembilan bulan pertama kepada RM1.3 bilion.

Tabungan bagi jemaah haji itu dalam satu kenyataan berkata, hasil positif itu berpunca daripada langkah penjimatan kos berterusan yang dilakukan pasukan pengurusannya.

Ia mencatatkan pendapatan RM900 juta pada suku sama, meningkatkan pendapatan untuk sembilan bulan pertama bagi 2019 kepada RM2.1 bilion.

TH berkata, dana itu dijana terutamanya daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM1.1 bilion), pelaburan hartanah (RM400 juta), pelaburan ekuiti (RM300 juta) serta pelaburan instrumen pasaran kewangan Islam (RM300 juta).

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 10:50am
d