mutakhir

Maut dihempap jengkaut

Oleh Ahmad Ismail

LELAKI maut dihempap jengkaut dikendalikannya ketika membuat kerja pembersihan di Padang Ragut Peta Temalik, Jalan Tengah, Kampung Tengah, Labis semalam.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Sharfini Nasar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 5.27 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, pemandu jengkaut itu tersepit di bawah jengkaut yang terbalik sebelum pihaknya berusaha mengeluarkan mangsa.

“Kami mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan mengapungkan beg di antara mangsa dan jengkaut itu.

“Bagaimanapun, selepas berjaya dikeluarkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Mangsa parah di kepala dan badan sebelum dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berusia 42 tahun berasal dari Kampung Gelang Cincin di sini dan kes diserahkan kepada polis.

Katanya, operasi tamat pada 6.56 petang.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 10:59am
d