mutakhir

Guru robotik terima Anugerah Mentor di China

Oleh Mohd Rafi Mamat

ANUGERAH Mentor yang dimenangi pada World Championship MakeX Robotics Competition 2019 di Guangzhou, China minggu lalu adalah pengiktirafan tertinggi buat seorang guru.

Tanpa pendedahan khusus dalam bidang robotik bukan penghalang kepada Mazlan Muhamad Yusof 38, untuk meneroka bidang yang masih dianggap baru di negara ini.

Mazlan berkata, selepas hanya dua tahun terbabit dalam bidang robotik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dia tidak menyangka berpeluang menerima anugerah mentor di peringkat dunia.

“Saya menganggap terlalu awal untuk menerima anugerah itu yang hanya layak diterima individu berpengalaman luas dalam bidang robotik selain mencipta banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

“Bagaimanapun mungkin rezeki saya tahun ini, dengan menyediakan biodata peribadi dan video pendek selama dua minit yang mengisahkan usaha saya mengajar murid sekolah luar bandar menghasilkan robot kejayaan dapat diraih.

“Penganjur mungkin melihat kesungguhan dan minat saya dalam bidang robotik walaupun tanpa pendidikan khas dalam bidang ini,” katanya ditemui di Pekan hari ini.

Katanya, lebih 300 pasukan membabitkan 60 negara bersaing dalam pertandingan itu namun empat guru pembimbing saja layak bersaing di peringkat akhir untuk merebut anugerah mentor sekali gus meraih hadiah wang tunai disediakan penganjur.

Menurutnya, pada saingan akhir itu calon dari Indonesia dan China perlu berada di atas pentas membuat pembentangan sambil menjawab soalan daripada penonton dan dirinya berhadapan dengan penonton selama 45 minit.

Mazlan yang juga guru pendidikan agama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang di sini berkata, dia bermula dalam bidang robotik dua tahun lalu hanya sebagai hobi selepas melihat beberapa rakan berjaya menghasilkan robot untuk mengisi masa lapang.

Katanya, bermula dari situ dia nekad mencuba dengan membeli dua set robotik berharga RM7,000 buatan China untuk kegunaan peribadi, selain tunjuk ajar rakan dia juga banyak berguru di Internet.

Mazlan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat berkata, anugerah mentor yang dimenangi menjadi pembakar semangat untuk dia terus memajukan lagi bidang robotik di peringkat sekolah.

“Saya akan buktikan hanya dengan minat kejayaan mampu berpihak pada seseorang selagi ada usaha dan kesungguhan untuk terus maju terutama dalam dalam bidang baru.

“Saya ingin terus berusaha membantu murid SK Seri Terentang untuk terus berjaya dalam bidang robotik, pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebelum ini perlu diteruskan.

“Lebih banyak pertandingan peringkat kebangsaan akan disertai pada masa akan datang dalam usaha meningkatkan imej SK Seri Terentang, negeri dan kebangsaan,” katanya yang berpengalaman 15 tahun sebagai guru di tiga sekolah rendah di Sarawak dan Pahang.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 11:12am
d