mutakhir

Gabungkan BMF dan Halalan Toyibban

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMPEN Utamakan Produk Muslim atau ‘Buy Muslims First’ (BMF) adalah hasrat baik namun ia harus digabungkan dengan produk yang menepati konsep Halalan Toyibban.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, kerajaan pada hari ini sentiasa menjaga kepentingan pelbagai pihak.

“Kita juga harus ingat bahawa produk oleh bukan Islam yang patuh pada konsep Halalan Toyyiban juga ada dan ada juga ramai Muslim membangunkan syarikat bukan Islam ini.

“Ramai orang Islam bergantung rezeki mereka di situ (syarikat bukan Islam yang keluarkan produk halal), jadi amat penting kita memahaminya dalam konteks yang lebih besar,” katanya pada sesi soal jawab di Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab persoalan dikemukakan Awang Hashim (PAS-Pendang) mengenai kesediaan kerajaan membantu mempromosikan kempen BMF yang kini disalah anggap sebagai gerakan memboikot produk kaum lain.

Bagaimanapun Fuziah berkata, mesyuarat antara agensi agama baru-baru ini bersetuju untuk membantu mempromosikan produk yang diusahakan usahawan Muslim menerusi media sosial dan sebagainya.

“Saya ingin ingatkan bahawa produk ini mesti digabungkan dengan konsep Halalan Toyyiban,” katanya.

Katanya, apa yang diberi tumpuan kepada pensijilan halal meliputi semua aspek termasuk dari bahan, ramuan, proses, penyediaan, kesucian peralatan, kebersihan premis dan pengendalian.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 11:44am
d