mutakhir

'Bot nelayan bukan untuk ambil orang'

Oleh Idris Musa

“JANGAN guna bot nelayan untuk membawa pendatang asing,” tegas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada nelayan dan pemain industri perikanan tempatan.

Beliau memberi amaran itu selepas mendapat maklumat daripada Cawangan Khas mengatakan ada bot nelayan disalah guna untuk mengangkut pendatang asing di Selat Melaka.

“Saya sedang minta benda ini diabsahkan. Kalau ada laporan, kita akan ambil tindakan. Tapi saya beri amaran kalau bot tu ke laut, ke lautlah, tangkap ikan, tangkap ikanlah.

“Bot itu bukan untuk ambil orang, dah kena nanti susah, rayu saya, rayu sana, rayu sini. Sebelum terjadi, jangan. Ini amaran yang hendak saya berikan.

“Kita beri bot, lesen itu untuk tangkap ikan, bukan untuk ambil orang asing masuk dalam negara kita. Jangan susahkan diri sendiri. Jangan guna bot nelayan untuk membawa pendatang asing. Itu saya nak pesan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Dialog Pembaharuan Industri Perikanan Negara di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan; Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Dialog itu membabitkan pemain industri, kumpulan sasar dan pegawai barisan hadapan Jabatan Perikanan berkisar isu menjadi tumpuan dalam sektor perikanan.

Sementara itu, Salahuddin berkata, 90 peratus perairan negara sudah bebas daripada pencerobohan vesel atau bot asing.

Namun katanya, operasi naga tidak akan dihentikan memandangkan dalam tempoh enam bulan operasi itu dijalankan sejak April lalu menampakkan kesannya.

“Dalam tempoh enam bulan itu kita dah boleh ukur, dah boleh buat satu unjuran bahawa hasil laut kita nampaknya bertambah, tidak ada pencerobohan pukat atau alat tangkapan ikan yang memusnahkan ekosistem laut.

“Secara umum kita menerima makluman daripada nelayan di Pantai Timur dan Pantai Barat bahawa musim ini nampaknya hasil laut meningkat.

“Ini bermakna pengalaman kita dalam menguatkuasakan perundangan ini sangat penting dan ia berkesan,” katanya yang turut melahirkan keyakinan sumber laut akan dapat ditingkatkan sekali gus membantu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Mengulas bantuan kepada nelayan di Pantai Timur pada musim tengkujuh ini, beliau berkata, mereka diberikan pukat tunda musim tengkujuh untuk tempoh tiga bulan.

“Kita izinkan mereka ke pantai untuk musim tengkujuh saja. Bantuan bencana bergantung kepada mereka terkena bencana,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 2:27pm
d