mutakhir

NDN kutip RM1.2 juta [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

NOMBOR pendaftaran NDN 1 mencatatkan bidaan tertinggi dengan jumlah bidaan RM136,000 sejak siri itu dilancarkan 28 November lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Azrin Borhan berkata, siri nombor pendaftaran NDN itu merekodkan kutipan tertinggi iaitu RM1.2 juta.

“Seramai 860 pembida terbabit dalam bidaan nombor pendaftaran siri NDN sejak dilancarkan 28 November sehingga 2 Disember lalu. Keputusan diumumkan 3 Disember lalu.

“Nombor pendaftaran NDN 9 mencatatkan bidaan kedua tertinggi dengan jumlah bidaan RM81,000 manakala NDN 94 mencatatkan bidaan paling rendah iaitu RM2,000.

“Bagi nombor pendaftaran NDN 11 pula mendapat bidaan paling ramai iaitu 11 pembida,” katanya pada sidang media JPJeBid di JPJ Negeri Sembilan hari ini.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan JPJ negeri.

Beliau berkata, pengenalan sistem JPJeBid untuk nombor pendaftaran NDN itu berjaya mencatatkan kutipan tertinggi dengan peningkatan 14.6 peratus berbanding siri sebelum ini.

Menurutnya, JPJ negeri merekodkan kutipan RM776,851.10 bagi siri nombor pendaftaran NDM.

“Sebelum ini, kutipan tertinggi JPJ negeri adalah siri nombor pendaftaran NDH iaitu RM825,683 pada 2017,” katanya.

Katanya, siri nombor pendaftaran seterusnya adalah NDP yang akan dilancarkan tahun depan.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 2:40pm
d