mutakhir

Sultan Johor cadang hospital baru di JB

Oleh Ibrahim Isa

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencadangkan hospital baru di Johor Bahru ketika menerima kunjungan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Dalam entri terbaru di laman Facebook (FB) baginda bertitah, keperluan sebuah hospital di Johor Bahru memandangkan peningkatan pesakit serta kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) ketika ini.

Baginda bertitah, mahu perkhidmatan perubatan awam lebih baik untuk rakyat Johor.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim bertitah, pertemuan itu bagi membincangkan perancangan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang tertumpu sepenuhnya kepada rawatan, penyelidikan dan pendidikan kanser.

Wakil Asian American Medical Group (AAMG) yang menerajui projek itu mengutarakan keperluan lebih ramai pakar kanser bagi memberikan kualiti perkhidmatan terbaik.

Pusat Kanser itu dibina bagi merealisasikan impian Almarhum Tunku Abdul Jalil yang sentiasa mahu membantu pesakit kanser.

Dalam pertemuan itu, Dr Dzulkefly menyampaikan perkembangan terkini kerja penambahbaikan HSA.

Antaranya pendawaian bangunan utama berusia lebih 70 tahun yang perlu ditambah baik dan kerja akan dimulakan tahun depan.

Selain itu, lokasi kebakaran Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA yang terbakar pada Oktober 2016 akan dibaiki.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 2:51pm
d