mutakhir

Usung jenazah dalam banjir [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

PENDUDUK kampung terpaksa meredah air sejauh 200 meter bagi mengusung jenazah seorang warga emas wanita akibat banjir di Kampung Dangar, di Rantau Panjang, hari ini.

Zainab Abu Bakar, 72, meninggal dunia pada 6 petang semalam di rumahnya akibat serangan jantung dan sakit tua.

Adiknya, Siti Mariam Abu Bakar, 63, berkata dia dan keluarga terpaksa meminta bantuan penduduk kampung untuk menguruskan jenazah kakaknya memandangkan air naik sehingga 1.5 meter di pekarangan rumah sejak semalam.

“Kakak saya memang sudah lama sakit dan keadaannya tenat, sejak petang semalam. Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah biarpun dia pergi ketika kita sedang dilanda musibah banjir.

“Memang saya sendiri tidak senang duduk memikirkan bagaimana untuk menguruskan jenazah arwah kerana dengan keadaan air yang masih banyak di rumah, namun Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Kami masih berpeluang memandikan jenazah di rumah namun terpaksa disembahyangkan di surau berdekatan dengan tanah perkuburan tempat arwah dikebumikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Dangar, hari ini.

Siti Mariam berkata, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tokdeh jam 11.30 pagi, kira-kira lapan kilometer dari rumah.

“Tanah perkuburan yang terdekat sudah ditenggelami air jadi kami terpaksa mengubah lokasi pengebumian atas persetujuan seluruh keluarga.

“Penduduk kampung bersepakat membantu dan sanggup meredah air untuk mengusung jenazah ke jalan utama sebelum dibawa dengan van ke tanah perkuburan.

“Terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus membantu dan berdoa semoga arwah kakak ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 3:17pm
d