mutakhir

Rezeki daun getah gugur

Oleh Noorazura Abdul Rahman

DEMI membantu suami berstatus orang kurang upaya (OKU), suri rumah bijak memanfaatkan daun getah gugur untuk digubah menjadi bunga sebagai sumber pendapatan.

Norrasidah Daud, 40, berkata, pendapatan suaminya, Norzizamri Ramli, 42, yang mengambil upah mesin rumput tidak menentu iaitu kira-kira RM200 sebulan.

Katanya, dengan hanya mengutip daun getah gugur di sekitar kawasan rumah, dia kini giat menghasilkan bunga gubahan berasaskan daun komoditi itu.

“Tempahan bunga ini akan meningkat ketika cuti sekolah seperti sekarang, kebanyakan pelanggan menempah bunga telur yang saya jual bermula RM2 hingga RM4.50 sekuntum.

“Sekarang saya terima lebih 350 kuntum bunga telur, ada yang sudah siap dan ada masih dalam proses, apabila siap sepenuhnya saya boleh peroleh antara RM800 hingga RM1,500,” katanya yang tinggal di Perumahan KEDA, Kampung Asam Jawa, Pendang.

Bercerita lanjut, ibu tiga anak itu berkata, proses pembuatan bunga berasaskan daun getah sebenarnya agak rumit, namun berbaloi selepas melihat hasilnya yang unik berbanding bunga plastik.

Katanya, daun getah perlu direndam sebulan untuk mengeluarkan kulit bagi membolehkan urat pada daun timbul.

“Selepas itu daun getah ini direndam semula dalam cecair peluntur untuk memutihkan urat daun agar kelihatan bersih sebelum dikeringkan dan boleh digubah menjadi kuntuman bunga.

“Antara jenis gubahan bunga yang sering mendapat permintaan ialah jenis kuntuman bunga ros, tulip, dan kekwa,” katanya.

Selain itu, Norrasidah berkata, dia turut mengambil upah menyediakan daun getah kering yang siap diproses (belum di gubah menjadi bunga) dan rata-rata pelanggannya adalah dari Perak, Kelantan, Perlis, Pahang dan Terengganu.

Katanya, walaupun sudah tujuh tahun mengusahakan gubahan bunga itu namun sehingga kini dia masih mengikuti kursus dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Sehingga sekarang saya masih menghadiri kursus anjuran RISDA agar dapat mempelbagaikan lagi gubahan dan corak bunga,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 3:18pm
d