mutakhir

Surau disimbah cat merah

Oleh Fairuz Zaidan

POLIS masih menjalankan siasatan serta mencari petunjuk motif sebenar insiden sebuah surau di Paya Rumput di daerah Melaka Tengah disimbah cat merah sehingga tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, setakat ini pihaknya belum menemui petunjuk sama ada kejadian itu ada kaitan dengan isu semasa atau sebaliknya.

“Kita sahkan sudah menerima laporan polis berhubung kejadian sebuah surau yang disimbah cat.

“Setakat ini, saya difahamkan ia masih dalam siasatan termasuk tidak tahu motif dan tujuan.

“Adakah itu berkaitan isu semasa atau tidak, kita masih tidak dapat beri jawapan lagi.

“Biarlah pihak polis menjalankan siasatan serta mengenal pasti pelakunya dan kita akan maklumkan dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Jasin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.

Ditanya kemungkinan ada individu dipanggil setakat ini, Mat Kasim berkata, ia masih dalam siasatan.

Semalam, beberapa keping gambar di muat naik individu dalam akaun Facebook mengenai insiden sebuah surau di Paya Rumput yang didakwa disimbah cat merah pada papan tanda, tembok meja, lantai dan tangga.

Dalam majlis itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Fadilah Mohd Nor menyerahkan tugas kepada Deputi Superintendan Mispani Hamdan selepas jawatan itu dikosongkan Superintendan Arshad Abu yang dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Alor Gajah.

Mispani yang juga anak kelahiran Batu Pahat, Johor sudah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 30 tahun dan jawatan terakhir beliau adalah Pegawai Turus Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 3:32pm
d