mutakhir

Lima tahun jadi hamba seks bapa tiri

Oleh Garret Dawum

POLIS menahan seorang petani selepas dipercayai menjadikan anak tirinya sebagai tempat melampias nafsu serakahnya sejak lima tahun lalu.

Perbuatan jijik lelaki berusia 45 tahun itu terbongkar susulan laporan polis dibuat mangsa pada 12.22 tengah hari Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sebelum suspek ditangkap pada 6.30 petang hari sama.

Ketua Polis Daerah Matu Daro Deputi Superintendan Neil Beginda berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang kini berusia 19 tahun dirogol beberapa kali oleh suspek sejak 2014.

“Kali pertama mangsa dirogol adalah pada Mac 2014 di bilik tidurnya ketika berusia 14 tahun dan kali terakhir pada Oktober lalu.

“Malah, mangsa turut mendakwa pernah dirogol di kebun di kampung suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Neil berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah di Bintulu hanya berani membuat laporan selepas tidak dijaga oleh bapa tirinya lagi.

“Mangsa akan dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut dan suspek ditahan di lokap Balai Polis Daro untuk membantu siasatan.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 3:38pm
d