mutakhir

680 warga China direman 14 hari lagi

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

TEMPOH reman 680 warga China yang ditahan pada 20 November lalu kerana disyaki terbabit sindiket penipuan pelaburan, disambung 14 hari bermula hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lanjutan itu bagi membolehkan siasatan lanjut pihaknya mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan berkaitan.

“Tempoh reman tamat semalam dan disambung lagi 14 hari kerana membabitkan jumlah ramai iaitu 680 orang.

“Pada masa sama, siasatan masih dijalankan dan belum dipastikan ia Macau Scam atau tidak,” katanya pada sidang media Operasi Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Jabatan Imigresen di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seramai 680 warga China ditahan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya kerana disyaki anggota sindiket penipuan pelaburan dalam talian termasuk tukaran mata wang asing atau forex.

Sementara itu, mengulas sejumlah pelancong China tidak keluar dari negara ini, Khairul Dzaimee berkata, ia masalah teknikal membabitkan kelemahan sistem hingga menyebabkan wujud perbezaan angka dengan Jabatan Audit Negara.

“Ada kemungkinan mereka ini pemegang pas lawatan sosial jangka panjang contohnya isteri atau suami kepada warga tempatan, mungkin juga pelajar, pekerja atau ekspatriat.

“Saya sedang mengkaji lebih lanjut perkara ini. Pihak kami akan mengadakan pertemuan semula dengan Jabatan Audit Negara selepas ini,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 melaporkan lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat negara ini, tiada rekod keluar antara 2016 sehingga tahun lalu.

Menurut laporan itu, sepanjang 2016 hingga 2018, data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar

Bagaimanapun, semalam Khairul Dzaimee dipetik berkata, berdasarkan semakan imigresen, jumlah sebenar pelancong China yang tidak keluar dari negara ini hanyalah 23 peratus (18,341) dan bukannya 95.6 peratus (76,258) seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 5:08pm
d