mutakhir

Tunjuk ajar bidan kampung Rohingya [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“WALAUPUN berkomunikasi seperti itik dan ayam, itu bukan penghalang kerana pada asasnya kami berada dalam bidang yang sama.

“Kami amat gembira kerana secara keseluruhan, mereka faham apa yang kami ajar dan amat menghargainya,” kata sukarelawan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) Dr Fairuz A’shikin Abdul Kadir.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena (ACWSH) berkata demikian ketika berkongsi pengalaman mengadakan kursus pengendalian kelahiran bayi kepada pelarian Rohingya.

Dr Fairuz bersama lima jururawat kebidanan ACWSH memberi tunjuk ajar kepada 25 bidan kampung pelarian Rohingya yang menghuni kem Hakim Para di Tengkhali, Cox’s Bazar, Bangladesh.

Menurutnya, antara perkara utama yang ditekankan kepada mereka ialah aspek kebersihan dan kaedah betul untuk mengatasi komplikasi ketika menyambut kelahiran bayi.

“Secara umum, mereka sudah tahu cara menyambut kelahiran bayi tapi kurang menitik berat aspek kebersihan. Ini boleh menjadi penyebab utama kematian bayi dan ibu kerana dalam kebanyakan kes, kematian berlaku kerana jangkitan kuman pendarahan yang terlalu banyak.

“Kami amat seronok kerana mereka menghargai ilmu yang kami berikan dan saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan saya di atas komitmen tinggi yang mereka berikan,” katanya.

Dr Fairuz berkata, itu pengalaman keduanya berkunjung ke kem pelarian Rohingya selepas kali pertama pada misi perubatan ke kem Kutupalong pada 2017.

Menurutnya, walaupun sudah banyak penambahbaikan dan kemudahan asas disediakan di kem pelarian, keadaan mereka masih daif dan memerlukan sumbangan pihak luar.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat).

Sementara itu Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, beliau berpuas hati dengan misi kali ini kerana lebih banyak masa diberikan kepada sukarelawan untuk berada di kem penempatan bagi menyantuni pelarian.

Katanya, rancangan diatur lebih sebulan lalu untuk misi ketujuh itu berjalan lancar dan objektif untuk melatih bidan dalam kalangan pelarian, dianggap tercapai.

“Proses untuk masuk ke kem kali ini lebih teratur dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan kerajaan Bangladesh sendiri.

“Justeru kita mengharapkan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk terus membantu saudara seagama kita di sini,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 6:41pm
d