mutakhir

APMM bantu nakhoda

Oleh Ibrahim Isa

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan pelayaran ihsan bagi menyelamatkan nakhoda kapal tangki yang tercedera di Tompok Utara berhampiran perairan Kota Tinggi hari ini.

Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada 12 tengah hari sebelum menyelaras pelayaran ihsan bagi membantu nakhoda terbabit yang mengalami kecederaan di kaki.

Menurutnya, pihaknya menghantar bot peronda APMM dari Zon Maritim Tanjung Sedili ke lokasi kapal tangki dengan tanda nama MRM V bagi memberi bantuan kecemasan dan membawa mangsa ke klinik.

“Mangsa mengalami kecederaan selepas terjatuh dan terkena besi bangku berikutan cuaca buruk ketika pelayaran.

“Kejadian berlaku ketika kapal itu sedang bersauh di perairan Tompok Utara sebelum ia dipukul ombak, apabila nakhoda mereka cedera kapal segera bergerak ke Tanjung Pengelih bagi mendapatkan bantuan.

“Mangsa adalah seorang lelaki Myanmar berusia 63 tahun dan kami berjaya menghantarnya ke Klinik Kesihatan Pengerang kira-kira 2 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain menjalankan penguatkuasaan, APMM sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim.

Katanya, orang ramai berdepan kecemasan di perairan Johor Timur boleh menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi ZMTS (07-8916595) atau talian kecemasan MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil APMM.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 7:11pm
d