mutakhir

Pelancong Hungary ditemui lemas

Oleh Hamzah Osman

PERCUTIAN 37 pelancong dari Hungary berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas dalam kejadian di Pantai Tengah di Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.10 petang itu, mangsa wanita, Dr Barany Ilona Sacal, 61, ditemui tidak sedarkan diri di pantai berhampiran hotel penginapannya oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Padang oleh pengurusan hotel sejurus menerima laporan kejadian itu.

“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian turut cuba memberikan bantuan kecemasan, bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan,” katanya ketika hubungi di sini.

Mohd Iqbal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

“Bedah siasat akan dijalankan ke atas mangsa pagi esok pada 9 pagi bagi mengetahui punca kematian.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama 37 rakannya tiba di pulau ini hari ini untuk bercuti,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 8:14pm
d