mutakhir

Sah Azmin rasmi kongres PKR esok

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TIMBALAN Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sah akan merasmikan kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Melaka, malam esok.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Biro Politik PKR hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, keputusan itu dicapai selepas mendengar pandangan semua pihak yang hadir dalam mesyuarat terbabit.

“Perbincangan sudah dibuat dan beliau (Mohamed Azmin) akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR, esok.

“Majlis penutup bagi kedua-dua kongres itu akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada petang Jumaat.

“Semua pimpinan parti akan hadir kecuali yang ada urusan rasmi di luar,” katanya.

Sementara itu, Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Mohamed Azmin dan ‘pasukannya’ menyatakan komitmen untuk hadir ke Kongres Nasional PKR di Melaka ketika mesyuarat khas itu berlangsung.

“Pada perbincangan tadi, kita meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan. Melihat Mohamed Azmin datang berjumpa dan memberi komitmen kepada kongres, jadi kita alu-alukan mana-mana pimpinan untuk menghadiri kongres,” katanya.

Berita berkaitan

Kongres Nasional PKR di Melaka jadi tumpuan

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 9:15pm
d