mutakhir

AMK sambut baik resolusi

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengalu-alukan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Presiden dan Timbalan Presiden Keadilan dalam usaha memperkukuh kesatuan dan muafakat anggota menjelang Kongres Nasional 2019 yang akan berlangsung mulai esok.

Timbalan Ketua AMK Malaysia Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya menghargai kepimpinan dalam menyelesaikan isu perasmian Kongres Nasional AMK 2019 yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

"Seluruh kepimpinan dan anggota AMK menyambut baik resolusi yang dicapai melalui perbincangan sebentar tadi untuk mengembalikan tradisi dan konvensyen parti dengan Perasmian Kongres Nasional AMK dan Wanita 2019 oleh Timbalan Presiden, esok.

"Kami juga mengalu-alukan keputusan untuk melaksanakan Perasmian Penutup bersama Kongres Nasional AMK dan Wanita oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN pada 6 Disember," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyeru seluruh perwakilan dan pemerhati serta pergerakan AMK Malaysia seluruh negara untuk hadir bagi meraikan Kongres Nasional AMK Malaysia pada esok dan 6 Disember manakala Kongres Nasional Keadilan ke-14 pada 7 dan 8 Disember di Melaka.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 9:29pm
d